Monday 22 April 2013

FENOMENA PENGGUNAAN BAHASA ROJAK









“Aku rasa Amazing race lebih best dari explorace ni. At least Amazing race semua sama rata, clue dia lebih stright to the point. Cuma aku tak faham lah kenapa TV3 suka pengacara dia cakap rojak. Sekejap cakap English, sekejap cakap melayu. Kalau nak english buatlah english all thru the way".

Itulah contoh bahasa rojak (bahasa campur antara Melayu dan Inggeris) yang telah menjadi virus di Malaysia. Seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka penggunaan bahasa rojak telah pun berlaku hasil pertembungan bangsa dan budaya dalam kalangan pedagang dunia dengan penduduk tempatan di negeri Melaka. Pada umumnya, Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Sebagai contohnya, Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris. Pada masa sekarang, bahasa rojak digunakan secara meluas terutama di kalangan remaja bandar Malaysia, yang sekali gus membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Penggunaan Bahasa Rojak di Malaysia merupakan satu topik kontroversi oleh kerana para pengkaji bahasa menganggapnya sebagai penggunaan bahasa yang tidak betul dan mungkin menimbulkan krisis dalam pembelajaran bahasa. Oleh itu, punca-punca dan langkah-langkah mengatasi penggunaan bahasa rojak akan ditelusuri demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, punca perdana penggunaan bahasa rojak ialah sikap penutur sendiri. Hal ini demikian kerana sikap penutur yang ingin menonjolkan kehebata mereka menguasai satu bahasa lagi. Kebanyakan penutur bahasa rojak biasanya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dalam persekitaran terutamanya dalam bahasa Inggeris yang sebenar. Oleh sebab itu, mereka akan cuba melatih diri dalam kemahiran berbahasa Inggeris terutamanya dalam kalangan para pelajar sekolah di luar bandar. Mereka akan cuba menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian meskipun tidak mempunyai kemahiran. Akhirnya, wujudlah fenomena penggunaan bahasa rojak dalam perbualan seharian. Mereka tidak berasa malu dan segan apabila bertutur menggunakan bahasa rojak, malah mereka berbangga kerana mereka beranggapan bahasa yang digunakan itu menunjukkan status mereka dalam masyarakat.

Sejajar dengan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat, bahasa rojak telah digunakan secara meluas dalam komunikasi melalui khidmatan pesanan ringkas (SMS) dan laman sesawang di Internet. Fenomena ini dikatakan salah satu faktor kelemahan penguasaan pelajar dalam subjek bahasa Malaysia, terutamanya dalam aspek penulisan. Kita sering mendapati pelajar-pelajar selalu terbawa-bawa amalan penggunaan bahasa rojak dalam pergaulan seharian dalam penulisan karangan mereka di sekolah. Bagi golongan pelajar yang masih di bangku sekolah ini, penggunaan bahasa rojak sangat meluas penggunaannya dalam hubungan mereka seharian termasuk dengan rakan sebaya, mungkin juga turut menular ketika berkomunikasi dengan ahli keluarga dan sanak-saudara. Semasa berhubung menggunakan SMS dan bersembang menggunakan laman web sosial seperti Facebook dan Twitter mereka lebih suka menggunakan bahasa rojak yang lebih senang difahami dan ditulis serta menjimatkan masa. Tabiat ini dilakukan selama berjam-jam sehingga menjadi sebati dengan diri mereka. Natijahnya, pelajar cenderung menggunakan bahasa lisan yang diringkaskan, malah ada yang mewujudkan istilah perkataan sendiri bagi tujuan kemudahan, penjimatan, dan juga gaya komunikasi.

Selain itu, penggunaan bahasa dalam media cetak dan elektronik turut menyumbang kepada permasalahan ini. Kebanyakan filem, drama, dan rancangan hiburan yang disiarkan di negara kita menonjolkan pelakon, pengacara dan peserta yang menggunakan bahasa rojak untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Penggunaan bahasa rojak juga turut melibatkan golongan pemimpin dan tetamu-tetamu jemputan yang berprofil tinggi untuk mengulas tentang sesuatu isu. Keadaan ini telah menyebabkan masyarakat mudah meniru dan akhirnya tidak segan silu menggunakan bahasa rojak apabila berkomunikasi. Tindakan penerbit dan pengarah filem yang cenderung menggambarkan golongan berada atau golongan atasan berkomunikasi menggunakan bahasa rojak untuk menggambarkan status mereka dalam masyarakat meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Oleh sebab itu, fenomena penggunaan bahasa rojak semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

Fenomena penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat hendaklah dikekang. Pihak yang perlu memainkan peranan utama dalam menangani masalah ini ialah ibu bapa. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dengan betul semasa berkomunikasi dengan anak-anak di rumah sejak anak-anak mereka kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dengan ini, apabila mereka memasuki alam persekolahan, mereka sudah tahu berbahasa dengan betul apabila berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Tabiat berbahasa dengan betul dan gramatis ini akan sebati dalam diri mereka sehingga dewasa. Pepatah Melayu ada mengatakan, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, yang amat sesuai untuk menggambarkan bahawa didikan ibu bapa terhadap anak-anak sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam. Oleh sebab itu, jika ibu bapa mereka merupakan pencinta bahasa Melayu yang sejati, tidak mustahil anak-anak mereka juga memiliki sifat yang sama.
Konklusinya, bahasa rojak bukanlah budaya kita yang sejati. Oleh sebab itu, kita harus berganding bahu bagai isi dengan kuku untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan jati diri bangsa Malaysia turun-temurun. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya tahu ``berbahasa rojak'', tidak lancar bahasa Inggerisnya dan tidak pula fasih bahasa Melayunya. Ini bukan sahaja merupakan satu masalah komunikasi tetapi sudah boleh dianggap sebagai satu `krisis identiti'. Satu langkah yang tegas dan menyeluruh hendaklah diambil untuk membongkar hingga ke akar umbi sebab musabab yang menjadi punca krisis tersebut. Hanya setelah sebab musabab yang sebenar diketahui maka satu penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan.



Seterusnya, peranan pihak berwajib tidak boleh dikesampingkan dalam usaha menangani masalah ini. Pihak yang paling berwajib dalam membendung fenomena ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP), Kementerian Pelajaran, dan Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Ketiga-tiga pihak hendaklah bermusyawarah untuk berbincang mengenai isu ini. Sehubungan dengan itu, bekas Ketua Pengarah DBP,Datuk A.Aziz Deraman memberitahu bahawa Akta DBP yang dipinda , perlu mengatasi kuasa akta-akta yang lain. Hal ini bertujuan untuk mengenakan tindakan undang-undang atas mereka yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain serta menggunakan bahasa kebangsaan dengan cara yang salah. Kerajaan sewajarnya memberikan penekanan yang lebih serius dalam menangani permasalahan ini. Tindakan ini hendaklah mendapat kerjasama daripada semua pihak. Sekiranya tidak, usaha kita untuk memartabatkan bahasa Melayu pasti sia-sia sahaja.

Akhir sekali, peranan guru terutamanya guru bahasa Melayu dan guru Bahasa Inggeris di sekolah hendaklah diperkasakan. Guru-guru perlulah mengubah sikap pelajar yang suka berkomunikasi menggunakan bahasa rojak secara lisan mahupun SMS. Guru-guru bahasa haruslah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pelajar-pelajar di sekolah. Mereka perlu berkomunikasi menggunakan bahasa yang betul dan gramatis semasa mengajar. Oleh sebab itu Guru mesti sentiasa berada dalam keadaan berkualiti, berkesan, dan menguasai kandungan subjeknya jauh lebih tinggi daripada pengetahuan dan kemahiran yang sedia dimiliki pelajar. Tambahan lagi, mereka perlu membuat persediaan, memperbaiki serta mempelbagai kaedah penyampaian termasuk memanfaatkan kemajuan teknologi sedaia ada secara kreatif. Kepentingan berbahasa dengan betul hendaklah disebarluaskan kepada pelajar-pelajar kerana bahasa melambangkan bangsa. Pelajar-pelajar hendaklah diingatkan bahawa Bahasa Melayu merupakan identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang mesti didaulatkan dan dimartabatkan sehingga ke persada antarabangsa.

Pidato Memartabat Bahasa Melayu

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.


Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, guru-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.
Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.
Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.
Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.


Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Isu Kemudahan Awam



Soalan Contoh

Kita sering mendapati bahawa banyak kemudahan awam yang disediakan oleh pelbagai pihak telah dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Pada pandangan anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku?

Kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta adalah untuk kegunaan orang ramai. Akan tetapi, ada kemudahan yang disediakan itu telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contohnya, mereka merosakkan kemudahan awam seperti memutuskan gagang telefon awam, menconteng dinding tandas awam, merosakkan alat permainan di taman permainan kanak-kanak dan sebagainya. Perkara itu menyebabkan orang lain pula yang akan menerima kesannya kerana tidak dapat menggunakannya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemudahan awam ini dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Seperti yang kita sedia maklum, antara faktor yang menjadi puncanya disebabkan oleh kurangnya didikan agama dan moral di rumah. Hal ini demikian kerana ahli keluarga itu sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik serta tidak menitikberatkan soal agama dan moral dalam kalangan ahli keluarga. Oleh itu, mereka merosakkan kemudahan awam tanpa memikirkan kesusahan yang akan dihadapi oleh orang lain. Jadi, tanpa didikan agama dan moral daripada keluarga, perkara ini akan menyebabkan remaja tidak dapat membezakan perkara yang baik atau buruk. Hal ini menunjukkan bahawa didikan agama dan moral yang kurang dititikberatkan oleh ibu bapa menjadi faktor kemudahan awam dirosakkan.
Faktor lain kemudahan awam dirosakkan ialah remaja terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka. Perkara ini berlaku kerana mereka mencontohi tindakan rakan-rakan yang lain. Kebiasaannya, remaja akan mengikut tindakan rakan yang melakukan kerosakan terhadap kemudahan awam, seperti merosakkan pam atau singki tandas. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kesulitan kepada orang lain yang hendak menggunakannya. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh rakan merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.
Kita juga sedar bahawa perkara itu disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak prihatin dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa kebanyakan anggota masyarakat lebih mementingkan urusan mereka sendiri. Tindakan itu boleh diibaratkan seperti “katak di bawah tempurung” kerana mereka tidak menghiraukan perkara yang sedang berlaku. Hasilnya, gejala ini tentunya menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu terus merosakkan kemudahan awam. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap masyarakat yang tidak prihatin merupakan salah satu daripada faktor yang menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Selain itu, kemudahan awam yang disediakan oleh pihak tertentu itu dirosakkan oleh orang yang hendak meluahkan perasaan marah mereka. Hal ini disebabkan oleh mereka tidak ada tempat lain untuk meluahkan perasaan selain merosakkan kemudahan awam yang disediakan. Perkara ini jelas terbukti seperti kata-kata kesat dan lucah yang terdapat di dinding tandas-tandas awam dan di pondok telefon awam. Orang yang tidak bertanggungjawab itu mungkin akan berasa lega dengan tindakannya itu. Sesungguhnya, perkara ini menunjukkan bahawa faktor orang yang hendak melepaskan perasan marah atau geramnya menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Seterusnya, faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau tidak tegas. Hal ini demikian kerana pihak berkuasa tidak bertindak dengan tegas atau mengenakan denda yang berat terhadap pihak yang merosakkan kemudahan awam. Perkara ini menyebabkan orang yang tidak bertanggungjawab semakin berani untuk merosakkan kemudahan awam. Namun demikian, orang yang memerlukan kemudahan awam tersebut pula yang terpaksa menanggung akibat buruknya. Oleh itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadi faktor penyumbang terhadap masalah ini.
Selain itu, kemudahan awam juga sering dirosakkan kerana kurang pemantauan dan penyelenggaraan daripada pihak yang bertanggungjawab. Masalah ini akan menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam tersebut. Perkara ini mungkin disebabkan oleh kekurangan kakitangan daripada pihak berkuasa yang hendak membuat pemantauan ataupun perbelanjaan untuk menyelenggarakan kemudahan awam itu sudah habis digunakan. Akibatnya, kemudahan awam yang dirosakkan itu akan terus terbiar dan perkara itu akan menjejaskan kebersihan atau keselesaan kita. Jadi, sememangnya faktor ini membuktikan bahawa masalah kurang pemantauan atau penyelenggaraan menyebabkan  perkara tersebut berlaku.
Sebagai kesimpulannya, kita dapat melihat bahawa masalah kemudahan awam yang dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini perlu ditangani dengan berkesan. Oleh itu, semua pihak  haruslah berganding bahu untuk menangani masalah ini agar tidak menjadi lebih serius. Sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, masalah ini akan menyebabkan imej negara tercemar akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab ini. Kita haruslah bekerjasama untuk mengatasi masalah ini sebelum menjadi barah dalam masyarakat. Akhirnya, kita berharap agar kemudahan awam dapat digunakan dan dinikmati oleh orang ramai.

Isu Pencemaran Bahasa


           Soalan:
               Masalah  pencemaran bahasa semakin berleluasa dalam kalangan  masyarakat pada masa ini. Keadaan ini menyukarkan hasrat  kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. 
Huraikan langkah untuk menangani masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

       Pencemaran bahasa merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa, struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan bahasa rojak dan sebagainya. Dalam era millenium yang rancak dengan pembangunan dan modenisasi ini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis hanya dipandang enteng oleh masyarakat. Bahasa yang dahulunya menjadi lingua franca’ kini kian hilang martabatnya apabila penggunaannya yang membabi buta tidak dikenakan tindakan. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang proaktif dan efisien agar nilai dan martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan.
         Salah satu langkah untuk membendung masalah penemaran bahasa ialah peranan pihak sekolah. Di peringkat sekolah, para pelajar sering didedahkan dengan pelbagai kesalahan bahasa oleh guru-guru Bahasa Melayu. Apabila para pelajar melakukan kesalahan dalam berbahasa, guru hendaklah menegur dan membetulkan kesalahan mereka. Biarkan mereka belajar daripada kesalahan mereka sendiri agar kesalahan tersebut tidak akan diulang lagi. Selain itu, pihak sekolah juga perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Sebagai contohnya, pihak sekolah mengadakan bulan bahasa yang diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pidato, syarahan, kuiz bahasa dan aktiviti lain yang sesuai. Dengan penyertaan oleh para pelajar, secara tidak langsung mereka belajar tentang bahasa yang betul, bak kata pepatah Sambil menyelam minum air
Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu.  Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis di samping mengembalikan martabat bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kempen ini boleh dilancarkan melalui media massa kerana media massa merupakan satu komponen yang paling mudah untuk menyebarkan informasi. Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan badan bukan kerajaan (NGO), kempen ini dapat dijalankan dengan lancar. Dengan kewujudan kempen ini, diharapkan masalah pencemaran bahasa kalangan masyarakat dapat dielakkan.
Pihak kerajaan juga perlu mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi organisasi sama ada lisan mahupun tulisan. Hal ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang gramatis dalam sektor kerajaan. Dengan mengimplimentasikan langkah ini, semua pegawai dan kakitangan kerajaanakan menggunakan bahasa yang betul setiap kali ingin menulis data, surat ataupun melakukan pembentangan. Perkara ini jika dibiasakan akan menjadi amalan, sesuai dengan peribahasa Melayu, Alah bisa tegal biasa”. Dengan cara ini, masalah pencemaran bahasa dapat diminimumkan.
Pencemaran bahasa yang sering kita lihat adalah di papan-papan tanda. Pihak kerajaan perlu mewajibkan penggunaan bahasa yang gramatis bagi papan-papan tanda. Hal ini perlu dipandang serius kerana bahasa menunjukkan bangsa. Jika pelancong asing datang ke negara kita, mereka akan terpengaruh oleh penggunaan-penggunaan bahasa yang salah, seterusnyamasalah pencemaran bahasa menjadi lebih serius. Oleh itu, papan-papan tanda yang ingin dibuat perlulah mendapat kelulusan bahasa daripada pakar-pakar bahasa Melayu. Dengan ini, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dibendung. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada merawat”.
Di samping itu, peranan ibu bapa juga penting dalam memperkasakan usaha mengatasi masalah pencemaran bahasa. Ibu bapa perlu membudayakan anak-anak mereka dengan budaya membaca sejak mereka kecil lagi. Hal ini mempengaruhi minat dan cara anak-anak menulis ayat dan bercakap. Dalam era dunia tanpa sempadan ini, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai perkataan dan istilah yang kurang baik dan digunakan sebagai bahasa percakapan harian mereka. Hal ini langsung tidak mendatangkan maslahat kepada anak-anak, ibu bapa, mahupun negara malahan semakin memburukkan keadaan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang berbentuk ilmiah di rumah di samping menekankan aspek-aspek penggunaan bahasa dengan betul kepada anak-anak sejak kecil kerana hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak yang berkenaan perlu bekerjasama untuk menjalankan langkah yang pragmatik bagi menangani masalah pencemaran bahasa. Usaha yang berterusan dan efisien akan menyebabkan bahasa yang telah diangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan ini semakin dihormati dan penggunaannya dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Jika tiada prakarsa daripada mana-mana pihak, maka pupuslah bahasa dan lenyaplah bangsa. Langkah untuk memprioritikan bahasa Melayu ini dilakukan agar generasi akan datang dapat merasakan keaslian dan ketulenan bahasa ibunda mereka yang selama ini diperjuangkan agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas.